Mak Ngahku
[Karya ini pernah tersiar dalam ruangan Secebis Kisah Utusan Malaysia ]
(Keluaran 7 Mei 1992)
Penerbangan aku ke UK jam 11 malam. Hasrul meminta diri untuk pulang memandangkan emaknya, Mak Ngah sudah keletihan.
Aku akur dengan permintaannya kerana Hasrul sedang membawa anak kecilnya yang masih berusia tiga bulan. Fikirku cukuplah kehadiran mereka walaupun sekejap.
Sewaktu bersalam ku lihat Mak Ngah menitiskan air mata kesayuan. Maklumlah akulah anak saudaranya yang agak rapat. Dia kemudian memeluk anak-anak aku. Ketika itu semua sahabat handai yang hadir melihat drama sayu itu.
"Azmi, belajar betul-betul jangan risaukan keluarga di sini. Jaga diri baik-baik," pesan Mak Ngah.
"Bila Azmi balik nanti mak kenalah panggil dia doktor!" usikan Hasrul membuatkan aku tersenyum.
"Bolehlah ubatkan Mak Ngah…" Mak Ngah bergurau.
"Azmi bukan nak jadi jadi doktor perubatan Mak Ngah, doktor falsafah," aku membetulkan sangkaan Mak Ngah"
Mak Ngah menghulurkan sepuluh ringgit tapi aku menolak pemberian Mak Ngah itu tak sampai rasanya hati untuk menerimanya. Tetapi Hasrul menyuruh aku menerimanya.
"Manalah tahu pemberian ini nanti boleh menjadi semangat ketika aku di perantauan nanti," kata Hasrul.
Walaupun wang itu cuma sepuluh ringgit, namun pemberian yang sedikit itu penuh bermakna
Penerbangan malam itu dari Subang berjalan tenang. Aku pasti waktu itu Mak Ngah telah berada dalam peraduannya. Mungkin juga masih payah untuk tidur mengenangkan kau yang telah pergi jauh.
Bagaimanapun aku percaya Hasrul boleh mendamaikan kehidupan emaknya kerana dialah satu-satu anak lelaki. Hasrul kini berjaya hasil usaha tanpa kenal letih orang tua itu juga.
Semangat dari Mak Ngah jugalah aku bawa ke UK untuk merenangi hidup ini. Mak Ngah jugalah yang menjadi penaung hidupku ketika menagih kasih sejak kematian ibuku ketika aku masih kecil lagi.
Belum setahun aku di UK, Hasrul mengirimkan sepucuk surat.
"Azmi, aku memohon maaf sebab lambat kirimkan berita ini. Aku tak mahu menyusahkan hatimu."
"Aku tahu mak aku mak kau juga. Kita kehilangannya. Mak aku menghidap penyakit Leukemia. Dia sudah lama menghidapnya. Tetapi terpaksa merahsiakan perkara ini dari kau. Atas permintaannya juga kerana dia tak mahu kau terluka," ceritanya.
Menitis air mataku tiba-tiba. Wang pemberian Mak Ngah dalam ringgit Malaysia masih belum kami menukarknanya ke dollar UK!
Ulasan