Carik-carik Bulu Ayam

[Karya ini pernah tersiar dalam ruangan Secebis Kisah Utusan Malaysia ]

(Keluaran 14 Oktober 1993)

Kurang sepuluh minit jam lima pagi aku telah sampai di perhentian bas Butterworth.

Sewaktu azan membelah subuh dari masjid Permatang Pasir, teksi yang aku tumpangi berhenti di halaman rumah Pak Ngah Musa. Udara segar datang dari arah sawah menyamankan aku lalu mengukir semula kenangan lima belas tahun lalu. Waktu itu nenek masih hidup. Aku dan emak sama-sama mengerjakan sawah.

Sekarang emak telah tiada. Waktu itu sawah dan lumpur mainan emak dan aku. Paling menyeronokkan bila tiba musim padi menguning. Bau harum daun padi yang kering mengasyikkan sekali.

Pak Ngah Musa waktu itu masih muda. Dialah membantu emak dan nenek membanting padi dan membajak. Upahnya ikut cara keluarga. Hasil banyak merasa semua. Hasil sedikit sama diagih. Menurut cerita emak mereka adik beradik hidup bermuafakat. Itu aturan datuk ke atas anak-anaknya.

Arwah ayahku berasal dari Perak, dia merantau dan bertemu jodoh dengan emak. Pada ayah harta pusaka datuk seperti hartanya. Dialah yang membantu mengusahakan sawah itu.

Pak Ngah Musa bernikah dua tahun sebelum ayah meninggal dunia. Sikapnya berubah setelah beristerikan Mak Nagah Minah. Dia menzahirkan perasaan tidak selesa pada keluarga kami. Lima tahun selepas Pak Ngah bernikah, emak meninggal dunia.

Aku tidak tahan lagi dengan sikap Pak Ngah, dalam diam aku memohon menjadi peneroka di tanah rancangan FELDA. Sudah menjadi takdir aku berjaya. Aku dan keluarga membawa diri ke Pahang.

"Ha, Awang. Ingat siapa tadi," Pak Ngah mematikan lamunan aku. Pak Ngah kelihatan sudah tua benar. Namun kemesraannya memberikan aku keinsafan untuk tidak menaruh dendam padanya.

Dari perbualanku dengan Pak Ngah Musa semasa bersarapan dia memberitahu sudah hampir sebulan sakit. Sawah anaknya yang sulung mengusahakannya.

Pak Ngah dan Mak Ngah agak terkejut malam itu bila aku memberitahu kepulanganku hendak membantunya menyelesaikan hutang cukai tanah yang tidak mampu dijelaskannya.

"Sudahlah Pak Ngah yang lepas biarkan berlalu. Tanah pusaka datuk ini rezeki untuk Pak Ngah. Saya sudah ada bahagian untuk saya di Pahang., cuma pesan saya jagalah pusaka ini seperti mana arwah datuk menjaga dulu.," kataku kepada Pak Ngah Musa.

Petang itu aku berlepas pulang dengan keretapi malam bersama bekalan beras yang baru diproses dari kilang padi Haji Rejab.

"Awang jangan lupa pada Pak Ngah," bisik Pak Ngah Musa sebelum keretapi berlepas.

Aku menganggukkan kepala

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Takdir

Mak Ngahku

Cerpen: IBU