Halaman

Sabtu, Ogos 27, 2011

Sudah Suratan

Ayah kata raya nanti kita balik rumah Mak Long. Kami tidak membantah kerana setiap tahun memang kami balik ke rumah Mak Long. Sejak kami kenal dunia, rumah Mak Long adalah tempat kami balik beraya. Rumah orang lain bukan kami tak balik tapi rumah Mak Long tetap menjadi perhentian pertama.

“Ayah kenapa kena balik rumah Mak Long....”, pernah Angah bertanya.
“Mak Long tinggal sorang.....”
“Kenapa tak balik rumah Atuk” sambung Angah lagi sambil meletakkan botol susunya ke dalam bakul motosikal ayah.
“Atuk mana ada lagi...Atuk bukankah dah lama meninggal dunia”, jawab ayah sambil mengesat air mata yang tergenang di tepi mata.
“Ayah menangis ye?”, tanya aku kepada ayah. Ayah tersenyum berkata tidak, tapi hidung ayah merah.
“Kenapa kita kena panggil Mak Long tu MakLong...?” tanya Angah lagi. Aku merungut, apalah Angah ni asyik bertanya yang bukan-bukan.
“Mak Long tu kakak ayah yang sulung. Masa ayah kecil-kecil dulu dia bela ayah. Dia mandikan ayah, dia bagi makan ayah”. Jawab ayah.

Ayah berkata lagi. Along nanti kena jadi Mak Long. Kena jaga adik. Jangan gaduh-gaduh. Jaga keselamatan adik-adik. Along kena jadi abang yang baik. Bila besar Along orang akan panggil Abang Long. Bila dah tua orang akan panggil Pak Long. Aku menganggukkan kepala tanda setuju tapi belum faham sangat apa yang ayah ucapkan.

Berat juga peranan Along ni rupanya. Kena ambil alih tugas ayah. Paling aku tidak tahan bila ayah berkata, kalau ayah tidak ada di dunia nanti along sebagai abang sulung kena menjadi wali nikahkah adik-adik perempuan.

Mak Long tinggal seorang diri selepas Pak Long meninggal dunia. Mak Long tiada anak. Baginya anak saudara adalah anaknya juga. Kalau dia nak marah dia akan marah. Adik-adiknya sudah faham perangai Mak Long. Kata Mak Long kalau tidak ditegur bimbang bila anak-anak dah besar rosak akhlaknya.

Kata ayah, semasa kecil dia sering kena rotan dengan Mak Long kalau buat salah. Nenek dan ayah tidak pernah memarahi  Mak Long. Itulah Mak Long, tanggungjawabnya mengatasi  Atuk dan Nenek. Kata ayah, kalau Mak Long tidak buat begitu sudah pasti ayah tidak berada ditempat sekarang.

Cerita ayah lagi ketika  nenek dan atuk ke sawah, Mak Longlah yang menjaga ayah dan Mak Su. Ketika itu Mak Long sekolah tak tinggi. Lepas habis sekolah Mak Long dikahwinkan dengan Pak Long. Lepas tu Mak Long ikut suaminya merantau di merata tempat. Pak Long bekerja sebagai tentera yang  terkorban dalam satu pertempuran dangan  komunis.

Lama Mak Long bersedih dengan kematian suaminya. Namun dengan nasihat atuk, Mak Long kembali bersemangat apabila nasihat atuk didengari.

Kerana sayangnya Mak Long kepada arwah suaminya sehingga kini Mak Long masih tinggal keseorangan dengan ditemani oleh Mak Su yang tinggal berjiran dengannya. Mak Su bila tamat pengajian di universiti dia balik bertugas sebagai guru di bandar berhampiran rumah Mak Long.

Walaupun rumah Mak Su bersebelahan rumah Mak Long, tapi rumah Mak Longlah tempat kami menginap bila balik kampung samada hari raya atau tidak. Pesan ayah kepada Mak Su jagalah Mak Long kerana ayah sering bekerja diluar daerah.

“Mak Long ni dah jadi penganti ibu bagi ayah...”ayah berkata kepadaku suatu ketika di tepi sawah dekat rumah Mak Long. Aku yang masih kecil waktu itu masih belum faham apa maksud ayah. Namun bila dewasa baru aku faham.

 Petang itu aku memapah Mak Long masuk ke perkarangan hospital. Mak Long begitu sedih. Adik perempuanku memeluk Mak Long sambil menangis. Mak Su mengusap kepala adik.

“Sabar sayang.......jangan menangis ini sudah takdir Allah”, Mak Su memujuk adik.
“Ayah dah tak ada Mak Long....ayah dah mati.....”, Mak Long menahan pilu.
Ayah pergi buat selama-lamanya dalam kemalangan jalan raya bersama ibu ketika kami pulang dari kampung berjumpa Mak Long.
“Sabarlah nak, Mak Long pun sedih. Dialah satu-satunya adik lelaki Mak Long. Dialah tempat Mak Long bergantung”

Selepas ayah dan emak dikebumikan aku menggenggam  kemas tanah kubur ibu ayah sekuat-kuatnya sambil berjanji untuk mengganti ayah menjaga Mak Long.

Bangi, Selangor
27 Ramadan 1432H

 

Selasa, Februari 08, 2005

Carik-carik Bulu Ayam

[Karya ini pernah tersiar dalam ruangan Secebis Kisah Utusan Malaysia ]

(Keluaran 14 Oktober 1993)

Kurang sepuluh minit jam lima pagi aku telah sampai di perhentian bas Butterworth.

Sewaktu azan membelah subuh dari masjid Permatang Pasir, teksi yang aku tumpangi berhenti di halaman rumah Pak Ngah Musa. Udara segar datang dari arah sawah menyamankan aku lalu mengukir semula kenangan lima belas tahun lalu. Waktu itu nenek masih hidup. Aku dan emak sama-sama mengerjakan sawah.

Sekarang emak telah tiada. Waktu itu sawah dan lumpur mainan emak dan aku. Paling menyeronokkan bila tiba musim padi menguning. Bau harum daun padi yang kering mengasyikkan sekali.

Pak Ngah Musa waktu itu masih muda. Dialah membantu emak dan nenek membanting padi dan membajak. Upahnya ikut cara keluarga. Hasil banyak merasa semua. Hasil sedikit sama diagih. Menurut cerita emak mereka adik beradik hidup bermuafakat. Itu aturan datuk ke atas anak-anaknya.

Arwah ayahku berasal dari Perak, dia merantau dan bertemu jodoh dengan emak. Pada ayah harta pusaka datuk seperti hartanya. Dialah yang membantu mengusahakan sawah itu.

Pak Ngah Musa bernikah dua tahun sebelum ayah meninggal dunia. Sikapnya berubah setelah beristerikan Mak Nagah Minah. Dia menzahirkan perasaan tidak selesa pada keluarga kami. Lima tahun selepas Pak Ngah bernikah, emak meninggal dunia.

Aku tidak tahan lagi dengan sikap Pak Ngah, dalam diam aku memohon menjadi peneroka di tanah rancangan FELDA. Sudah menjadi takdir aku berjaya. Aku dan keluarga membawa diri ke Pahang.

"Ha, Awang. Ingat siapa tadi," Pak Ngah mematikan lamunan aku. Pak Ngah kelihatan sudah tua benar. Namun kemesraannya memberikan aku keinsafan untuk tidak menaruh dendam padanya.

Dari perbualanku dengan Pak Ngah Musa semasa bersarapan dia memberitahu sudah hampir sebulan sakit. Sawah anaknya yang sulung mengusahakannya.

Pak Ngah dan Mak Ngah agak terkejut malam itu bila aku memberitahu kepulanganku hendak membantunya menyelesaikan hutang cukai tanah yang tidak mampu dijelaskannya.

"Sudahlah Pak Ngah yang lepas biarkan berlalu. Tanah pusaka datuk ini rezeki untuk Pak Ngah. Saya sudah ada bahagian untuk saya di Pahang., cuma pesan saya jagalah pusaka ini seperti mana arwah datuk menjaga dulu.," kataku kepada Pak Ngah Musa.

Petang itu aku berlepas pulang dengan keretapi malam bersama bekalan beras yang baru diproses dari kilang padi Haji Rejab.

"Awang jangan lupa pada Pak Ngah," bisik Pak Ngah Musa sebelum keretapi berlepas.

Aku menganggukkan kepala

Takdir

[Karya ini pernah tersiar dalam ruangan Secebis Kisah Utusan Malaysia ]
(Keluaran 4 Feb 1994)
Ketika Hakim Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman ke atas Abang Jalil, Kak Milah jatuh pengsan. Mahkamah gempar. Aku dan keluarga Kak Milah yang keluarga mengeluarkan Kak Milah dari kamar mahkamah untuk memulihkannya.
Abang Jalil merenung sayu sambil dibawa keluar oleh anggota polis ke Black Maria. Ketika Kak Milah pulih, Abang Jalil telah jauh dibawa pergi.
"Kak Milah malu Man. Kak Milah kesal. Kenapalah Abang Jalil sanggup melakukan perkara terkutuk itu", Kak Milah bersuara lemah. Aku menghulurkan air sejuk untuk Kak Milah.
"Sudahlah Kak Milah, ini semua kehendak Allah. Allah masih menyayanginya," pujuk aku.
"Kasihan kata Man..?" Kak Milah seperti tidak faham maksud kata-kataku.
"Ya, Allah masih mahu Abang Jalil bertaubat. Bila dia mati nanti dosanya akan terampun,"kataku.
"Mati, mati di tali gantung?" seperti meraung Kak Milah menyoal aku. Aku hanya mampu mendiamkan diri. Aku tidak mahu membakar perasaan Kak Milah.
"Kak Milah malu. Malu pada masyarakat dan keluarga. Mereka akan mengutuk suami Kak Milah yang menjadi pengedar dadah.", Kak Milah bersuara kesal.
"Biarkan mereka mengutuk. Allah bersama kita. Kalau mengutuk, mereka yang berdosa. Yang penting Abang Jalil sudah dihukum. Biarkanlah dia, Allah yang akan menentukan segala-galanya," aku menguatkan semangat Kak Milah.
"Kak Milah tak sangka selama ini Abang Jalil menjadi pengedar dadah," kata Kak Milah.
"Sepandai-pandai tupai melompat ke tanah juga," kataku.
Orang yang lalu lalang menoleh ke arah Kak Milah. Kak Milah merenung masa depannya yang kabur. Mungkin anak-anaknya yang difikirkan.
Malang bagi Kak Milah, suami yang disayangi menjadi musuh masyarakat. Kini Kak Milah mesti menempuh masyarakat yang sudah pasti akan mencemuhnya.
"Ayuh kita pulang Kak Milah," pelawaku. Kak Milah merenung mukaku. Renungannya mendebarkan dada mudaku.
"Maafkan aku Man. Kalau aku memilih kau menjadi suamiku dulu tentu tak jadi begini. Tapi aku mengejar Abang Jalil yang kononnya orang kaya.," Kak Milah mengejutkan aku.
"Sudahlah. Semua ini takdir Ilahi. Lagi pun Kak Milah sudah menganggap saya sebagai adik angkat," aku menenangkan Kak Milah.
Kak Milah yang lebih tua tiga tahun dariku dan pernah menjadi kekasihku suatu masa dulu diam dan menundukkan kepala. Air matanya menitis lembut ke pipi. Aku memujuknya meninggalkan Mahkamah Tinggi yang penuh kenangan bagi Kak Milah.

Wakaf Emak

[Karya ini pernah tersiar dalam ruangan Secebis Kisah Utusan Malaysia ]
(Keluaran 21 Mei 1992)
Sudah lima puluh hari emak kembali ke Rahmatullah. Bagaikan bermimpi petang itu kereta Proton Saga putih berhenti di depan rumah teres dua tingkat kami. Aku mengejutkan abang Ramlan yang sedang menidurkan Nur Amirah. Abang Ramlah mengenakan cermin matanya sambil menjengah ke luar dari celah langsir.

"Paksu, masuk Paksu, masuk" pelawa ramah abang Ramlan. Dari dalam kereta keluar seorang perempuan yang aku fikir mungkin itu Maksu abang Ramlan.
Aku tidak pernah melihat Paksu dan Maksu sebab abang Ramlan tidak pernah membawa bertemu dengan mereka sejak kami berkahwin kerana emak selalu uzur dan tidak dapat berjalan jauh.
"Lama tak jumpa.." kata abang Ramlan sambil bersalaman dengan Paksu.
"Mana nak jumpa selalu, kau sudah jadi orang kaya sekarang," balas Maksu sambil meletakkan beg tangan di atas tempat duduk.
"Alhamdulillah….., kaya tidak tapi senang adalah Maksu. Tapi kalau saham saya naik, mungkin saya boleh kaya," jawab abang Ramlan seperti menyindir.
"Dimana kau kebumikan emak….."tanya Maksu.
"Disini," ringkas jawab abang Ramlan.
"Kenapa tak dibawa balik ke tempat tumpah darahnya, bukankah di sana ramai saudara maranya?" tanya Maksu.
"Disini lebih afdal Maksu, tak payah seksa-seksa arwah", jawab abang Ramlah tegas.
Aku minta diri ke dapur. Mereka anak beranak meneruskan perbualan yang sesekali seolah-olah menyindir.
"Jadi…, Paksu mahukan sijil kematian mak?" tanya abang Ramlah. Aku lihat Paksu tersenyum lembut. Jauh beza dari raut wajahnya ketika mula-mula tiba.
"Dulu sewaktu mak masih hidup Paksu beritahu Peguam dihadapan Mak Anjang bahawa emak telah mati.
Jadi buat apa nak minta sijil kematian mak lagi?" abang Ramlah bertanya tegas.
Aku lihat Paksu kegelisahan.
"Paksu sendiri buat silap. Dua kali saya beritahu tentang emak yang sedang uzur. Tapi Paksu tak datang. Bila emak meninggal, Paksu tak datang juga."
"Maafkan Paksu Lan…"rayu Paksu.
"Paksu tidak bersalah dengan saya, tapi bagaimana dengan arwah emak. Dia yang mengasuh dan membesarkan Paksu selepas kematian nenek. Aleh-aleh pasal harta pusaka, Paksu mahu menafikan kewujudan emak dalam hidup Paksu,"abang Ramlan bersuara sayu. Menitis air mata Paksu.

Petang itu Paksu pulang dengan tenang dan tersenyum puas bila abang Ramlan tanpa banyak kerenah dan penuh menghormati ayah saudaranya memberi sehelai sijil mati emak.
Sebulan kemudian kami pulang ke Kampung Permatang Pauh, kampung pusaka arwah nenek abang Ramlan. Kami disambut penuh kemesraan. Setelah mengumpul semua saudara mara, Paksu memberitahu tujuannya untuk membuat pembahagian pusaka.
Esoknya kegemparan tiba-tiba terjadi.
"Kau sudah gila Ramlan? Habis kau wakafkan bahagian pusaka emak kau tu?" menyinga aku lihat Paksu memarahi abang Ramlan.
""Maafkan saya Paksu. Saya buat ini semua demi mak. Saya tak ada apa-apa lagi. Untuk hidup saya sudah ada harta penjagaan senderi. Emak di Alam Barzah manfaat dari kita. Sepatutnya harta ini mak perolehi masa di hidup. Jadi bila dia sudah meninggal, salahkah saya wakafkan bagi pihak mak?"
Tanpa menyoal lagi Paksu tinggalkan kami. Lepas Zohor kami pulang ke rumah dalam damai.

Mak Ngahku

[Karya ini pernah tersiar dalam ruangan Secebis Kisah Utusan Malaysia ]
(Keluaran 7 Mei 1992)
Penerbangan aku ke UK jam 11 malam. Hasrul meminta diri untuk pulang memandangkan emaknya, Mak Ngah sudah keletihan.

Aku akur dengan permintaannya kerana Hasrul sedang membawa anak kecilnya yang masih berusia tiga bulan. Fikirku cukuplah kehadiran mereka walaupun sekejap.

Sewaktu bersalam ku lihat Mak Ngah menitiskan air mata kesayuan. Maklumlah akulah anak saudaranya yang agak rapat. Dia kemudian memeluk anak-anak aku. Ketika itu semua sahabat handai yang hadir melihat drama sayu itu.

"Azmi, belajar betul-betul jangan risaukan keluarga di sini. Jaga diri baik-baik," pesan Mak Ngah.

"Bila Azmi balik nanti mak kenalah panggil dia doktor!" usikan Hasrul membuatkan aku tersenyum.

"Bolehlah ubatkan Mak Ngah…" Mak Ngah bergurau.

"Azmi bukan nak jadi jadi doktor perubatan Mak Ngah, doktor falsafah," aku membetulkan sangkaan Mak Ngah"

Mak Ngah menghulurkan sepuluh ringgit tapi aku menolak pemberian Mak Ngah itu tak sampai rasanya hati untuk menerimanya. Tetapi Hasrul menyuruh aku menerimanya.

"Manalah tahu pemberian ini nanti boleh menjadi semangat ketika aku di perantauan nanti," kata Hasrul.

Walaupun wang itu cuma sepuluh ringgit, namun pemberian yang sedikit itu penuh bermakna


Penerbangan malam itu dari Subang berjalan tenang. Aku pasti waktu itu Mak Ngah telah berada dalam peraduannya. Mungkin juga masih payah untuk tidur mengenangkan kau yang telah pergi jauh.

Bagaimanapun aku percaya Hasrul boleh mendamaikan kehidupan emaknya kerana dialah satu-satu anak lelaki. Hasrul kini berjaya hasil usaha tanpa kenal letih orang tua itu juga.

Semangat dari Mak Ngah jugalah aku bawa ke UK untuk merenangi hidup ini. Mak Ngah jugalah yang menjadi penaung hidupku ketika menagih kasih sejak kematian ibuku ketika aku masih kecil lagi.

Belum setahun aku di UK, Hasrul mengirimkan sepucuk surat.

"Azmi, aku memohon maaf sebab lambat kirimkan berita ini. Aku tak mahu menyusahkan hatimu."

"Aku tahu mak aku mak kau juga. Kita kehilangannya. Mak aku menghidap penyakit Leukemia. Dia sudah lama menghidapnya. Tetapi terpaksa merahsiakan perkara ini dari kau. Atas permintaannya juga kerana dia tak mahu kau terluka," ceritanya.

Menitis air mataku tiba-tiba. Wang pemberian Mak Ngah dalam ringgit Malaysia masih belum kami menukarknanya ke dollar UK!