Takdir

[Karya ini pernah tersiar dalam ruangan Secebis Kisah Utusan Malaysia ]
(Keluaran 4 Feb 1994)
Ketika Hakim Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman ke atas Abang Jalil, Kak Milah jatuh pengsan. Mahkamah gempar. Aku dan keluarga Kak Milah yang keluarga mengeluarkan Kak Milah dari kamar mahkamah untuk memulihkannya.
Abang Jalil merenung sayu sambil dibawa keluar oleh anggota polis ke Black Maria. Ketika Kak Milah pulih, Abang Jalil telah jauh dibawa pergi.
"Kak Milah malu Man. Kak Milah kesal. Kenapalah Abang Jalil sanggup melakukan perkara terkutuk itu", Kak Milah bersuara lemah. Aku menghulurkan air sejuk untuk Kak Milah.
"Sudahlah Kak Milah, ini semua kehendak Allah. Allah masih menyayanginya," pujuk aku.
"Kasihan kata Man..?" Kak Milah seperti tidak faham maksud kata-kataku.
"Ya, Allah masih mahu Abang Jalil bertaubat. Bila dia mati nanti dosanya akan terampun,"kataku.
"Mati, mati di tali gantung?" seperti meraung Kak Milah menyoal aku. Aku hanya mampu mendiamkan diri. Aku tidak mahu membakar perasaan Kak Milah.
"Kak Milah malu. Malu pada masyarakat dan keluarga. Mereka akan mengutuk suami Kak Milah yang menjadi pengedar dadah.", Kak Milah bersuara kesal.
"Biarkan mereka mengutuk. Allah bersama kita. Kalau mengutuk, mereka yang berdosa. Yang penting Abang Jalil sudah dihukum. Biarkanlah dia, Allah yang akan menentukan segala-galanya," aku menguatkan semangat Kak Milah.
"Kak Milah tak sangka selama ini Abang Jalil menjadi pengedar dadah," kata Kak Milah.
"Sepandai-pandai tupai melompat ke tanah juga," kataku.
Orang yang lalu lalang menoleh ke arah Kak Milah. Kak Milah merenung masa depannya yang kabur. Mungkin anak-anaknya yang difikirkan.
Malang bagi Kak Milah, suami yang disayangi menjadi musuh masyarakat. Kini Kak Milah mesti menempuh masyarakat yang sudah pasti akan mencemuhnya.
"Ayuh kita pulang Kak Milah," pelawaku. Kak Milah merenung mukaku. Renungannya mendebarkan dada mudaku.
"Maafkan aku Man. Kalau aku memilih kau menjadi suamiku dulu tentu tak jadi begini. Tapi aku mengejar Abang Jalil yang kononnya orang kaya.," Kak Milah mengejutkan aku.
"Sudahlah. Semua ini takdir Ilahi. Lagi pun Kak Milah sudah menganggap saya sebagai adik angkat," aku menenangkan Kak Milah.
Kak Milah yang lebih tua tiga tahun dariku dan pernah menjadi kekasihku suatu masa dulu diam dan menundukkan kepala. Air matanya menitis lembut ke pipi. Aku memujuknya meninggalkan Mahkamah Tinggi yang penuh kenangan bagi Kak Milah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Mak Ngahku

Cerpen: IBU